Sunday 16 March 2014

GEMPAR!!! Enam maut ambil dadah berlebihan

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
16 Mac 2014



Enam maut ambil dadah berlebihan
Mohmad (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, semalam.

KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk seorang pelajar dari sebuah universiti di utara tanah air maut dan tiga kritikal disyaki akibat pengambilan dadah secara berlebihan ketika berhibur di acara muzik terbesar, Future Music Festival Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil,  kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kesemua mangsa warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan

Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), awal pagi semalam.

Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27.

“Hasil bedah siasat mendapati suhu badan mangsa terlalu panas dan tiada unsur pergaduhan. Kita percaya kematian mangsa berpunca daripada dadah jenis methamphetamine yang diambil secara berlebihan.

“Sementara itu, tiga pengunjung yang kritikal menerima rawatan lanjut di PPUM dan di PUKM,” katanya ketika sidang media, semalam.

Beliau berkata, mangsa kritikal terdiri daripada dua warga Singapura dan seorang warga tempatan berumur antara 19 dan 27 tahun.



Susulan daripada itu, katanya, polis menahan menahan seramai 19 orang di bawah kesalahan dadah.

Enam orang ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang melibatkan empat warga tempatan dan dua warga asing. Manakala empat tangkapan lagi dibuat di bawah kesalahan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya yang melibatkan seorang warga Singapura dan tiga warga tempatan.

Katanya, sembilan lagi pengunjung ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang melibatkan tiga warga Sudan, Singapura (2) , Indonesia (2), Australia (1) dan Zimbabwe (1).

Mohmad berkata, beliau percaya dadah ini diperoleh di luar sebelum mereka masuk melihat konsert itu.

“Masalah dadah di Malaysia ini bukanlah satu benda baru, bahkan penyalahgunaan dadah ini bukan berlaku di kawasan begini sahaja, tapi juga berlaku di pusat-pusat hiburan. Jadi sekarang ini penyalahgunaan dadah sintetik ini merupakan satu ‘trend’ mereka untuk berhibur.

“Ekoran daripada keadaan ini, kita sudah memberitahu penganjur bahawa konsert yang diteruskan ini dibatalkan tanpa alasan kerana menyebabkan masalah keselamatan,” katanya.

Future Music Festival Asia yang berlangsung dari 13 Mac hingga 15 Mac 2014 membariskan lebih 70 bintang hebat dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa.

Sumber