Friday 28 March 2014

MH370: 300 imej baru dari Thai mungkin mampu beri sasaran lebih jelas kepada SAR



KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Agensi Maklumat Geo dan Pembangunan Teknologi Angkasa Thailand (GISTA), Dr Anond Snidvongs berkata 300 imej baru yang dikesan Thailand baru-baru ini berkemungkinan boleh memberikan sasaran yang lebih jelas kepada usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 melalui udara.

Bagaimanapun kata beliau, penemuan objek menerusi imej-imej tersebut adalah bergantung kepada nasib kerana cuaca di selatan Lautan Hindi tidak begitu baik sejak beberapa hari lepas sehingga menyebabkan operasi pencarian tergendala.


Meskipun begitu, Dr Anond berkata terdapat peluang untuk objek-objek tersebut dikaitkan dengan imej-imej yang dikesan sebelum ini dan juga serpihan pesawat Boeing 777-200 yang hilang sejak 8 Mac itu.

"Ada peluang tetapi ia amat sukar untuk menentukan sama ada ianya objek yang sama atau tidak. Kami harap supaya imej-imej itu dapat diperolehi bukan sahaja dari satelit kami sendiri tetapi satelit lain juga," katanya ketika satu temubual atas talian dalam program Agenda AWANI, pada Khamis.


Imej satelit Thai telah mengesan sebanyak 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi ketika operasi pencarian pesawat MH370, kata seorang pegawai pada Khamis.

Menurut GISTA, objek-objek yang berukuran di antara dua hingga 15 meter itu bertebaran di sekitar 2,700 barat daya Perth.

Anond Snidvongs memberitahu AFP, maklumat-maklumat tersebut telah pun diserahkan kepada Malaysia.

Jelasnya, imej-imej itu telah diambil oleh satu-satunya satelit pemerhati bumi Thailand, Isnin lalu, tetapi memerlukan beberapa hari untuk diproses.

Katanya objek-objek tersebut telah dikesan kira-kira 200 kilometer dari kawasan tumpuan satelit Perancis sebelum ini dalam usaha mereka mencari pesawat tersebut.

Sumber