Wednesday 16 April 2014

1MWER ::: Dokumen rasmi Malaysia dikagumi di Ecuador


Zamri Mohamed (kiri) dan Mohd. Faizal Sukree bergambar bersama seorang anggota tentera di sempadan Macara, Ecuador, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 14 April - Dokumen rasmi Malaysia seperti pasport dan geran kenderaan menjadi tumpuan anggota tentera serta petugas imigresen dan kastam di sempadan Macara, Ecuador pada Selasa lalu kerana dianggap mereka sebagai berkualiti tinggi.

Ketua 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) yang kini dalam misi menjelajah dunia, Datuk Zamri Mohamed, 50, berkata, pasport dan geran motosikal mereka dibelek dengan penuh kehairanan oleh pegawai agensi berkenaan kerana tidak pernah menerima rakyat Malaysia di pintu masuk itu.

“Tanda isyarat bagus juga ditunjukkan kepada kami apabila mereka melihat kualiti pasport Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kami bangga apabila mereka memuji sesama sendiri pasport kita.

“Begitu juga dengan kualiti geran kenderaan Malaysia yang dikagumi mereka dan perkara itu tidak pelik kerana saya sendiri pernah melihat geran kenderaan Kanada yang ha­nya berupa kertas A4 putih biasa," katanya dalam kiriman e-mel kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Zamri berkata, walaupun mendapat kerjasama yang baik daripada agensi keselamatan Ecuador di sempadan itu, mereka mengambil masa kira-kira dua jam untuk urusan dokumentasi berikutan masalah bahasa.

Katanya, para petugas berkenaan langsung tidak tahu berbahasa Inggeris manakala anggota pasukan 1MWER pula tidak memahami bahasa Sepanyol yang digunakan secara meluas di negara berkenaan.

“Mujur ada aplikasi terjemahan Google Translate yang banyak membantu kami berurusan dengan mereka sewaktu mengisi borang kemasukan dan pelepasan kenderaan.

“Di bahagian kastam pula, hanya seorang sahaja pegawai yang meng­uruskannya. Secara keseluruhannya, pegawai-pegawai yang bertugas di situ amat membantu walaupun mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk bercakap dengan kami," katanya.


Zamri berkata, 1MWER juga mendapat layanan istimewa sewaktu mahu keluar daripada Peru sebelum itu apabila agensi keselamatan di sempadan negara itu bagaikan meraikan ketibaan mereka.

Katanya, mereka seolah-olah sukar untuk mempercayai bahawa 1MWER telah mengembara hampir 50,000 kilometer meninggalkan negara ini pertengahan tahun lalu sehingga perlu ditunjukkan bukti dalam bentuk foto.

“Ada juga yang mengambil ke­sempatan untuk bergambar bersama kami dan motosikal. Teringat saya beberapa bulan lalu ketika melalui sempadan Iran, Rusia, Tajikistan, Turki serta banyak lagi negara, kami pasti menyembunyikan kamera kerana mengambil gambar di sempadan adalah kesalahan besar.

“Saya sendiri pernah ditahan, digari dan ditutup mata hanya ke­rana mengambil gambar di Teheran sewaktu dalam penjelajahan darat dari Kuala Lumpur ke Mekah pada 2010," katanya.

1MWER hanya mengambil masa tiga hari untuk merentasi E­cuador dan mereka berjaya memasuki negara ke 31 dalam penjelajahan iaitu Columbia pada Jumaat lalu.

Ekspedisi 1MWER yang turut dianggotai Rosmadi Saad, 46 dan Mohd. Faizal Sukree, 38, itu di anjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang menjelajah lebih 40 buah negara dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

© Utusan Melayu (M) Bhd