Monday, 30 June 2014

NAJIB luang masa ziarah Presiden PAS


Najib bergambar bersama Abdul Hadi di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

SHAH ALAM - Walaupun sibuk memenuhi urusan seharian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap meluangkan sedikit waktu menziarahi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini mendapatkan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) tengah hari ini.

Beliau sempat memuat naik gambar bersama Abdul Hadi di bilik rawatan serta ucapan mendoakan agar kesihatannya bertambah baik.

"Menziarahi Tuan Haji Hadi di hospital baru tadi. Moga cepat pulih, Insya-Allah," katanya menerusi laman Twitternya.


Terdahulu, Sinar Harian Online melaporkan Abdul Hadi mengalami masalah kesihatan dan dikejarkan ke hospital di  Istanbul ketika menghadiri Seminar Antarabangsa Esam anjuran Gerakan Islam Turki.

Sebelum ini Abdul Hadi dilaporkan mendapat rawatan di hospital berkenaan akibat komplikasi sesak nafas semasa persidangan berlangsung.

Beliau selamat tiba di tanah air 18 Jun lalu selepas menjalani rawatan perubatan di hospital di Istanbul, sejak Mei lalu. - Sinar Harian