Showing posts with label global. Show all posts
Showing posts with label global. Show all posts

Thursday, 24 July 2014

AH5017 ::Pesawat Algeria dengan 116 penumpang, kru hilang dari radar

sumber gambar dari internet

ALGIERS 24 Julai - Pesawat penumpang Air Algerie AH 5017 yang dalam perjalanan dari Burkina Faso ke sini telah hilang dari radar selepas 50 minit berlepas ketika terbang di ruang udara Mali.

Pesawat jenis MD83 itu dipercayai membawa 110 penumpang dan enam anak kapal.

"Perkhidmatan navigasi udara telah terputus hubungan dengan kapal terbang Air Algerie selepas 20 minit berlepas," kata syarikat penerbangan itu. - AGENSI / UtusanMelayu

GE222 :: 51 maut pesawat TransAsia Airways terhempas

Cuaca buruk halang pendaratan cemas.

TAIPEI - TAIWAN. Sekurang-kurangnya 51 terkorban, semalam selepas sebuah pesawat gagal mendarat cemas dalam cubaan kali kedua di lapangan terbang Magong berikutan cuaca buruk.

Agensi berita tempatan melaporkan pesawat TransAsia Airways yang membawa 54 penumpang termasuk empat kru dari ibu negara itu sedang menuju ke Pulau Penghu, lapor AP.


"Pesawat GE222 itu terbakar sejurus ia terhempas.

"Seramai tujuh penumpang yang melecur teruk kini dirawat di hospital berhampiran," menurut laporan tersebut.

Difahamkan, juruterbang hadapi kesukaran untuk melakukan pendaratan cemas akibat taufan Matmo melanda kawasan itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan punca sebenar nahas masih disiasat. - SinarHarian

Tuesday, 22 July 2014

GEMPAR !!! Potong, rebus tangan anak


Jun menerima rawatan di hospital.

KEKEJAMAN seorang bapa tiri di China yang sanggup memotong tangan anak lelaki tirinya dan kemudian merebus tangan itu di dalam sebuah periuk air yang sedang mendidih terbalas apabila dia dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun.

Ketika kejadian, Wang Xinyu, 31, dipercayai mengalami pertengkaran kecil dengan isterinya di dalam telefon berhubung masalah kewangan.

Sejurus selepas perbualan dimatikan, suspek hilang sabar dan bertindak merotan anaknya Xiao Jun, 9, sebelum memotong tangan kanak-kanak itu dengan pisau pemotong daging dan mencampakkannya ke dalam periuk bagi menyukarkan ia disambung kembali lapor Mirror Daily.

"Saya dengar kanak-kanak itu merayu, ayah jangan ayah. Kemudian dia menjerit, tetapi saya tidak menyangka ia akan menjadi insiden yang dahsyat begini," menurut jiran suspek.

Bagaimanapun, selepas kejadian itu suspek sendiri menelefon polis untuk mengaku apa yang telah dilakukan dan membawa kanak-kanak malang tersebut ke hospital untuk mendapatkan rawatan. - Sinar Harian

Thursday, 17 July 2014

NEGARA TERKECIL hanya saiz sebuah rumah?

Sealand

TAHUKAH anda negara terkecil di dunia hanya sebesar sebuah rumah di tengah laut.

Agaknya mungkin ada yang tercari-cari di mana letaknya negara paling terkecil di dunia dan jawapannya ialah negara Sealand.

Sealand merupakan sebuah negara mikro yang terletak di atas HM Fort Roughs (pernah dikenali sebagai Maunell Sea Fort), sebuah pangkalan tentera semasa Perang  Dunia Kedua.

Terletak kira-kira 10 km (6 batu) dari pantai Suffolk, Britain dan luasnya hanya empat kilometer persegi.

Negara terkecil di dunia ini bukanlah sebuah pulau, tetapi ia merupakan sebuah struktur bangunan di tengah laut yang disokong oleh dua menara besar.

Sumber gambar dari Internet 

Kalau dilihat dari jauh, ia tidak ubah seperti rig gerudi minyak.

Struktur ini dibina oleh Tentera Laut Kerajaan Inggeris. Namun pada tahun 1968 mahkamah memutuskan struktur tersebut berada di wilayah perairan antarabangsa dan ertinya di luar bidang kuasa Inggeris.

Sejarah Sealand

Sejarah Sealand adalah kisah perjuangan untuk kebebasan.

Sealand telah diasaskan pada prinsip bahawa mana-mana kumpulan orang tidak berpuas hati dengan undang-undang dan sekatan yang menindas negara bangsa yang sedia ada boleh mengisytiharkan kemerdekaan pada mana-mana tempat tidak dituntut untuk berada di bawah bidang kuasa entiti lain berdaulat.

Ini melahirkan moto negara Sealand ini E Mare Libertas, atau "Dari Laut, Kebebasan".


Semasa Perang Dunia Kedua, kerajaan Britain membina beberapa kubu di Utara laut untuk mempertahankan pantai dari pencerobohan Jerman.

Kubu ini  dibina secara haram di perairan antarabangsa.

Salah satu kubu ini, yang terdiri daripada konkrit dan pembinaan keluli, adalah kubu diraja Roughs Tower yang terkenal dan terletak di utara kawasan muara Sungai Thames.

Berbeza dengan pelan asal untuk mencari menara dalam wilayah berdaulat England, kubu ini terletak pada jarak kira-kira 7 batu nautika dari pantai, iaitu lebih dua kali ganda.

Siapa yang mengurus Sealand?

Sealand diuruskan oleh keluarga Bates selepas mendapat hak untuk mentadbir Sealand.

Bates telah mengemukakan banyak hujah dan yakin bahawa Sealand sah menjadi negara yang berdaulat.

Alasannya tetap, Sealand tidak masuk mana-mana wilayah negara saat ianya dibina.

Tambahan pula, orang-orang Belanda yang kalah melawan Bates ditahan dalam penjara dan banyak negara yang menyeru agar beliau membebaskan mereka.

Ini bermakna, kalau Sealand bukan negara, mana mungkin mereka meminta hal tersebut.

Sumber gambar dari internet 

Hebatnya, Sealand ia mempunyai setem sendiri, lagu kebangsaan, wang (dolar Sealand), hingga bendera kebangsaan.

Ironis, kewujudan Sealand jadi polemik bagi dunia antarabangsa.

Negara ini tidak menjadi anggota PBB, dan pada tahun 1987 Britain memperluaskan wilayah perairannya hingga mendakwa Sealand masuk ke dalam kekuasaan Inggeris.

Rakyatnya menghasilkan pendapatan melalui jualan cenderamata, gambar dan sebagainya melalui internet.

Menurut wikipedia, jumlah populasi di Sealand pada 2004 berjumlah 27 orang.

Sumber terkini mengatakan kini hanya tinggal 4 orang sahaja. - Sinar Harian

KES DI SWEDEN ::: Azizul Raheem lapor diri hari ini

Pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalluddin bertemu wartawan selepas hadir melaporkan diri di Jabatan Sumber Manusia, Ibu Pejabat Tourism Malaysia, di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pegawai Tourism Malaysia yang dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan di Sweden kerana memukul empat anaknya, Azizul Raheem Awalludin, melaporkan diri di pejabat Tourism Malaysia di sini, hari ini.
 
"Saya perlu menguruskan pelbagai perkara berkaitan kerja dan peribadi," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat tersebut.
 
Azizul Raheem berkata, beliau memohon untuk bercuti dan akan kembali bertugas selepas cuti Hari Raya Aidilfitri ini untuk meluangkan masa bersama anak-anaknya.

Katanya, beliau kini menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan di Tourism Malaysia namun jabatan penempatan bertugas beliau masih belum ditetapkan.
 
Azizul Raheem, yang dibebaskan pada 9 Julai lepas, didakwa memukul anaknya sejak September 2010 dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan manakala isterinya Shalwati Norshal, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.
 
Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan dan mereka masing-masing hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.
 
Pasangan berkenaan mempunyai empat anak, iaitu Aisyah, 15, Ammar, 12, Adam, 11, Ariff, 8.

 
Ditanya mengenai persekolahan anak-anaknya, Azizul Raheem berkata mereka akan terus bersekolah di Kelantan sehingga akhir tahun ini sebelum diputuskan sama ada untuk menghantar mereka bersekolah di Kuala Lumpur atau kekal di Kelantan.
 
"Saya perlu berbincang dengan isteri saya apabila dia pulang ke Malaysia nanti. Perkara ini akan juga dibincangkan dengan saudara-mara untuk memutuskan sekolah yang paling sesuai untuk anak-anak akan ditempatkan kelak," katanya.
 
Azizul Raheem mula berkhidmat di Tourism Malaysia sejak September 2000.

Sebelum bertugas di Sweden sejak 2010, beliau pernah berkhidmat di pejabat Tourism Malaysia di Johannesburg, Afrika Selatan dari 2006 hingga 2010.
 
"Pengalaman dihukum penjara menjadikan diri saya lebih matang dalam menjalani kehidupan seharian, saya berazam untuk meningkatkan mutu kerja pada masa depan," katanya. - Bernama