Tuesday, 10 June 2014

1MWER ::: PENGALAMAN BERHARGA


TIGA ahli ekspedisi 1MWER 2013, Rosmadi Saad (kiri), Zamri Mohamed (tengah) dan Mohd. Faizal Sukree di Vancouver, Kanada, Rabu lalu.

SETELAH mengharungi perjalanan sejauh 55,883 kilometer merentasi 38 buah negara dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi, ahli ekspedisi '1Malaysia World Endurance Ride 2013' (1MWER 2013) berjaya menamatkan cabaran mereka.

Membawa mesej 'Pergerakan Kesederhanaan Global' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta memperkenalkan Malaysia, mereka tiba di Vancouver pada Rabu lalu setelah menyeberangi sempadan Peach Arch di Kanada dari Washington, Amerika Syarikat.


Ekspedisi selama 554 hari bermula dari hujung Asia ke Ushuaia di Argentina itu bukan setakat mencapai matlamatnya tetapi turut memberi pengalaman pembelajaran yang sangat berharga, menurut ketua ekspedisi, Datuk Zamri Mohamed.

Mereka dijangka tiba di Singapura pada 17 Jun ini, menyeberangi Tambak Johor menuju Johor Baharu dan akan disambut di Melaka Negeri Bersejarah pada 21 Jun ini sekali gus menandakan pencapaian mereka dalam satu perjalanan bersejarah. - Utusan 

1MWER kini di Vancouver, Kanada



KUALA LUMPUR 5 Jun - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) berjaya tiba di Vancouver, Kanada, sebentar tadi.

Ketua 1MWER, Datuk Zamri Mohamed, 50, berkata, perjalanan mereka dari California ke Kanada bermula pada Sabtu lalu merentasi San Francissco dan Seattle.

"Amat bersyukur kerana 1MWER telah selamat sampai di Vancouver, Kanada sebentar tadi. Negara kedua terakhir sebelum Singapura.


"Terima Kasih di atas segala sokongan dan doa daripada anda semua selama ini, syukur Alhamdulillah," katanya melalui status laman sosial Facebook.

Kanada merupakan negara ke 40 dijelajahi 1MWER yang memulakan perjalanan dari ibu negara dalam misi mengelilingi dunia pada Jun tahun lalu.

Bergantung kepada perkembangan semasa, 1MWER dijangka menaiki penerbangan ke Singapura pertengahan bulan ini sebelum menunggang ke ibu negara. - UTUSAN ONLINE

Friday, 6 June 2014

JPJ lelong motosikal sita


Antara motosikal yang akan dilelong pada 18 Jun ini di Kompleks JPJ Seremban.

SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan akan mengadakan lelongan awam kenderaan sita, pada 18 Jun ini.

Pengarahnya, Saiful Azzri Hamzah berkata, lelongan bermula 9 pagi di Dewan Melati Kompleks JPJ Seremban itu menyaksikan tidak kurang 51 motosikal bakal dilelong, sebahagian besarnya masih boleh dilesenkan.

“Kenderaan ini telah dilucutkan hak melalui perintah mahkamah dan pembida yang berjaya akan memperoleh hak milik penuh ke atas kenderaan tersebut," katanya.


Beliau bagaimanapun berkata, hanya mereka yang telah membeli dokumen penjualan lelong saja layak dan dibenarkan mengambil bahagian dalam penjualan tersebut.

“Dokumen Penjualan Lelong boleh dibeli pada 16 dan 17 Jun ini di Kaunter 39 Pejabat JPJ Seremban dengan harga RM50 senaskhah, manakala kenderaan yang dilelong boleh dilihat di stor simpanan kenderaan sita di pejabat berkenaan pada hari sama bermula 9 pagi hingga 4 petang.

“Mutu atau keadaan kenderaan motor dilelong bagaimanapun tidak dijamin kerajaaan dan ia akan berada dalam keadaan seperti semasa penjualan lelong,” katanya dalam satu kenyataan diserahkan kepada Sinar Harian di sini, semalam. - Sinar Harian

GEMPAR !!! Dengar orang mengaji tengah laut


Che Wan Mohd Razi (tengah) dipeluk erat dua anaknya, Che Wan Norazilah, 19, yang juga atlet Sukma dan Che Wan Mohd Saiful Amin, 20, sebaik bapa mereka tiba di pekarangan rumah di Tanjung Pagar, petang semalam.

DUNGUN - “Jangan putus asa, ingat segala kejadian mesti ada hikmahnya, kita mesti bertawakal, jangan putus  berdoa selain berikhtiar dengan apa cara sekalipun, dalam situasi seperti ini tiada siapa yang dapat menolong kita kecuali ALLAH,” kata Che Wan Mohd Razi Che Wan De, 48.

Che Wan Mohd Razi adalah seorang daripada tiga nelayan yang terselamat selepas bot pukat tunda dinaiki mereka dihanyutkan arus sebaik dilanggar kapal besar ketika keluar menangkap ikan di perairan Dungun pada 26 Mei lalu.

Menceritakan kembali detik sebelum tragedi, Che Wan Mohd Razi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam pada hari ketiga mereka berada di laut untuk menangkap ikan.

Menurutnya, ketika itu botnya sedang berlabuh di perairan Kerteh sebelum tiba-tiba dilanggar sebuah bot pukat tunda besar dipercayai berpangkalan di Kuantan, Pahang menyebabkan botnya terhuyung-hayang lalu mengambil keputusan memotong sauh bagi mengelakkan bot karam.

"Selepas perlanggaran itu, saya cuba hidupkan enjin bot untuk pulang ke pangkalan, tapi gagal kerana masalah bateri.

"Walaupun ketika itu baru dapat satu bakul hasil tangkapan, kami terpaksa batalkan niat menangkap ikan setelah bot rosak," katanya.

Bot yang berpangkalan di jeti Nibong Bawah, Dungun itu akhirnya secara perlahan-lahan dihanyutkan arus ke tengah laut sehingga masuk hari kelima.


Tidak putus berdoa

Kata Che Mohd Wan Razi, sepanjang tempoh berkenaan, mereka tidak putus berdoa agar muncul bot lain bagi memberikan bantuan, selain berusaha memberikan isyarat melalui pelbagai cara termasuk menyalakan lampu suluh dan melaung sekuat hati, namun semuanya hampa.

Dia juga cuba menghubungi keluarga dan rakan lain melalui telefon bimbit, bagaimanapun tiada isyarat talian.

"Kami hanya bertemankan lampu suluh setelah lampu bot gagal dinyalakan kerana masalah bateri.

“Dalam keadaan seperti itu, kami juga terpaksa makan secara berjimat untuk mengelakkan makanan habis,” katanya.

Menurutnya, dia dan dua lagi rakannya berjaga secara bergilir untuk memberikan isyarat setiap kali ternampak bot yang melintas, namun semuanya hampa kerana isyarat yang diberikan melalui cahaya lampu suluh gagal dilihat.

Katanya, dalam masa tiga jam, bot mereka dihanyutkan kira-kira dua batu nautika ke tengah lautan dan dalam masa lima hari, bot sudah hanyut kira-kira 18  batu nautika dari lokasi pertama sauh putus.


Hati berasa sayu

“Saya tak takut mati, cuma hati rasa sayu melihat kejadian Tuhan, malah merasakan apa yang berlaku seolah-olah satu cerita.

“Dalam situasi itu, saya terus berdoa sehinggalah saya berjaya ditemui,” kata tekong bot itu.

Bagaimanapun Che Wan Mohd Razi berkata, saat paling menyentuh perasaannya ketika berada di tengah lautan apabila dia tiba-tiba terdengar suara orang mengaji al-Quran sebaik masuk waktu Subuh pada hari ke tujuh dan hari terakhir sebelum botnya ditemui.

Katanya, ketika itu, hatinya tiba-tiba berasa sayu, apatah lagi melihat kebesaran Tuhan dengan lautan yang meluas dan jarak lokasi ketika itu kira-kira 90 batu nautika dari perairan Seberang Takir Kuala Terengganu dan 20  batu nautika dari sempadan perairan Laos.

Di saat itulah, dia berdoa sekali lagi agar ditunjukkan jalan keluar menemui daratan sebelum botnya ditemui kira-kira jam 10 pagi, kelmarin, oleh sebuah bot tempatan yang keluar untuk memancing ikan.

“Sebaik ternampak bot itu, kami melambaikan tangan. Bot kami kemudian ditunda hingga ke jeti Seberang Takir sebelum pulang ke sini (Dungun),” katanya.


Isteri bersyukur suami selamat

Isteri Che Wan Mohd Razi, Azizah Mohamed Abdullah, 43, berkata, dia tidak dapat meluahkan perasaan gembiranya, selain bersyukur kepada Tuhan kerana suaminya berjaya diselamatkan selepas 10 hari hilang di laut.

Katanya, dia menerima berita gembira itu kira-kira jam 5.30 pagi semalam sebaik suaminya sampai di jeti Seberang Takir.

“Akhirnya Tuhan makbulkan doa saya selepas masuk hari kesebelas dia hilang. Saya bersyukur pada Tuhan kerana dia selamat dan dapat meneruskan kehidupan bersama kami,” katanya.

Azizah berkata, walaupun tragedi itu menimpa suaminya, dia tidak akan menghalang suaminya untuk terus menjadi nelayan kerana hanya itu sumber pendapatan  mereka sekeluarga.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ahmad Che Ngah, 39, berkata, dia bersyukur kerana berjaya kembali ke pangkuan keluarga selepas 10 hari hanyut di tengah lautan.

Katanya, pengalaman berada di tengah laut dalam situasi mencemaskan itu paling bermakna baginya sepanjang menjadi nelayan.


Operasi mencari dihentikan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Ahmad Zailani Yaacub berkata, berikutan penemuan tiga nelayan hilang itu, operasi mencari dihentikan serta-merta dan pihaknya melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang menziarahi ketiga-tiga mangsa turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha menjejaki tiga nelayan hilang itu.

Wan Hassan yang turut menganjurkan solat hajat berkata, semua pihak harus mengambil iktibar daripada kejadian itu dan sentiasa berserah kepada ALLAH SWT setiap kali ditimpa musibah.

Hadir sama menziarahi mangsa ialah Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik; Pengerusi Penyelaras Dun Sura yang juga Pengerusi JKKK Tanjung Pagar, Azmi Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Mat Yassim Mohamed.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Che Wan Mohd Radzi bersama dua awak-awak, Wan Kamarudin Wan Ali, 52 dan Ahmad Che Ngah dilaporkan hilang setelah keluar menangkap ikan di Perairan Pulau Tenggol, Dungun pada 26 Mei lalu.

Bagaimanapun selepas 10 hari dihanyutkan di tengah laut, mereka berjaya diselamatkan nelayan tempatan kira-kira jam 10 pagi, kelmarin, sebelum bot mereka ditunda dan tiba di jeti Seberang Takir, jam 5.30 pagi semalam. - Sinar Harian

Henti monopoli kandungan TV


Sreedhar (kiri) dan Mohd Anwar pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

PENYEDIA  perkhidmatan rangkaian televisyen kabel Asian Broadcasting Network (M) Sdn Bhd (ABNxcess) menggesa campur tangan kerajaan dalam menghapuskan perjanjian eksklusif yang mengehadkan siaran kandungan penting televisyen seperti saluran pendidikan, dokumentari dan sukan kepada hanya sebuah stesen televisyen berbayar.

Perjanjian eksklusif ialah persetujuan antara stesen televisyen berbayar dengan pembekal kandungan yang menghalang kandungan itu dijual kepada stesen televisyen lain selama beberapa tahun, mengikut tempoh dipersetujui.

Ketua Pegawai Eksekutif ABNxcess Sreedhar Subramaniam berkata, campur tangan itu perlu bagi mengimbangi industri itu dengan pembangunan negara bagi menghasilkan masyarakat berasaskan pengetahuan.

“Sebagai pemegang lesen, kami (pengendali stesen televisyen) boleh diberitahu (oleh kerajaan) jika kami melakukan aktiviti yang mengurangkan persaingan (dalam pasaran).

“Kami boleh diberitahu yang walaupun kami bebas lakukan pelbagai perkara, ada perkara yang perlu dielakkan untuk kepentingan negara,” katanya dalam sidang media sempena tahun pertama operasi ABNxcess di Kuala Lumpur, semalam.

Sreedhar berkata, ABNxcess mempunyai matlamat memastikan kandungan televisyen termasuk pendidikan, dokumentari, berita dan program agama boleh diakses oleh rakyat dengan harga rendah.

Menurutnya, negara yang mengamalkan pasaran bebas seperti Amerika Syarikat turut mengenakan kawalan dalam industri televisyen berbayar mereka untuk mengelakkan monopoli kandungan.


Beliau berkata, ABNxcess bertemu kerajaan melalui beberapa platform berhubung isu itu dan kerajaan difahamkan sedang mengkaji perkara itu.

“Tentu sekali sebelum ini kerajaan pernah mengarahkan beberapa program (televisyen) disiarkan di beberapa platform berbeza tetapi kami cadangkan ia tidak hanya terhad kepada acara sukan sahaja,” katanya.

Menyentuh pelan perniagaan ABNxcess, Sreedhar berkata, syarikat itu menyasarkan 100,000 pelanggan sehingga akhir tahun ini, selain pelaburan RM2 bilion untuk menyediakan rangkaian kabelnya ke lima juta rumah di seluruh Malaysia menjelang 2017.

Menurutnya pada masa ini, perkhidmatan ABNxcess yang menawarkan siaran televisyen digital dan internet berkelajuan tinggi boleh didapati di beberapa kawasan di Lembah Klang, Johor Bahru, dan Kajang sebelum dikembangkan ke Melaka, Seremban, Ipoh dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengerusi ABNcxess Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, dengan pengenalan Akta Persaingan yang dikuatkuasakan pada 2012, kerajaan dan pemain industri perlu melihat untuk memberikan akses kandungan televisyen kepada semua
orang berbanding sistem monopoli.

“Kami mencadangkan tapak persaingan yang lebih adil. Mengambil semangat Akta Persaingan, kita tidak patut menggalakkan eksklusiviti dan monopoli kandungan,” katanya. - Sinar Harian

Thursday, 5 June 2014

Dr M ::: JAIS tak patut serbu majlis kahwin


Dr Mahathir Mohamad menyampaikan Syarahan Perdana Presiden UIAM bertajuk "Contemporary Islamic Lifestyle:Fitting in or Taking the Lead" di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

GOMBAK - Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, sebagai pihak berkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memang berhak menyiasat agama seseorang, tetapi tidak patut menyerbu majlis perkahwinannya.

Sejajar dengan itu, beliau menyarankan Jais merujuk kepada al-Quran kerana di dalam kitab suci itu terdapat banyak larangan berhubung tindakan terhadap seseorang yang tidak mengaku beragama Islam.
 
"Kamu (Jais) boleh menyiasat, tapi tidak boleh menghalang orang berkahwin. Apabila kamu menghormati agama orang lain, orang agama lain juga akan menghormati kamu.
 
"Saya ingin mencadangkan supaya mereka (Jais) kembali kepada al-Quran dan tidak membuat tafsiran sendiri (mengenai ayat al-Quran)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Contemporary Islamic Lifestyle: Fitting In or Taking the Lead' dalam Siri Syarahan Perdana Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini hari ini.

 
Bekas perdana menteri itu berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai tindakan Jais menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya, Selangor Ahad lepas.
 
Jais mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya. - Bernama

ZALIM !!! Lelaki humban bayi dalam gaung


Suspek membawa polis ke dalam gaung, lokasi bayi malang tersebut dihumban.

SHAH ALAM – Seorang lelaki bertindak kejam menghumban bayi berusia enam bulan, anak kepada seorang pekerjanya ke dalam gaung di kilometer 3.2 Jalan Genting Highlands.

Mayat bayi berkenaan dibungkus di dalam plastik dan disumbat ke dalam beg pakaian, sebelum dihumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 70 meter itu oleh suspek yang difahamkan bimbang bayi hasil hubungan sulit pekerjanya itu diketahui orang lain.

Bagaimanapun perbuatan lelaki itu yang merupakan seorang ejen pembantu rumah terbongkar setelah ibu bayi berkenaan yang berusia 33 tahun membuat laporan di Balai Polis Kota Kemuning.

Menurut sumber, penemuan mayat bayi kira-kira jam 11 pagi itu selepas seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai sebagai suspek, ditangkap.

Kata sumber tersebut, lelaki itu mendakwa, bayi berkenaan dipercayai anak kepada salah seorang pembantu rumahnya dan berdasarkan keterangan suspek, bayi itu mati di sebuah asrama pekerjanya di Kota Kemuning, di sini, Sabtu lalu.


Difahamkan pembantu rumah berkenaan dipercayai mengandung akibat dirogol oleh salah seorang bekas majikannya tahun lalu.

“Suspek bersama isterinya lari sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel di Cheras selepas kejadian itu.

Suspek bersama isterinya kemudian berjaya ditahan, di sini, kelmarin.

"Suspek direman sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan," kata sumber.

Sementara itu,  pasukan forensik terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mayat bayi tersebut ekoran kedudukan lokasi gaung yang curam dan cuaca lembab. Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, difahamkan pembantu rumah berkenaan ketika disoal siasat mendakwa dia dan rakan-rakannya dipaksa bekerja tanpa permit dan tidak pernah  dibayar gaji.

“Bertindak atas maklumat, Isnin lalu pasukan polis berjaya menyelamatkan enam pekerja asing. Ejen itu juga dipercayai menawarkan perkhidmatan pembantu  rumah jangka  pendek.

“Pekerjanya  juga dipercayai telah dieksploitasi secara seksual oleh majikan dan ejen itu. Siasatan awal mendapati tiga rumah yang dipercayai digunakan untuk mengurung semua pekerja itu,” kata sumber itu lagi.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah memberitahu kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Sinar Harian

GEMPAR !!! Pelayar Britain dakwa nampak MH370



PHUKET - THAILAND. Di kala perkhabaran berita mengenai status di mana MH370 masih kabur, sebuah portal berita Thailand melaporkan seorang pelayar wanita dari Britain mendakwa melihat MH370.

Katherine Tee, 41, dilaporkan melihat pesawat ketika belayar merentasi Lautan Hindi dari India ke Phuket tetapi hanya memberitahu pihak berkuasa baru-baru ini kerana takut aduannya tidak akan diberi perhatian serius.

Menurutnya ketika kejadian, suaminya Marc Horn, 50 bersama beberapa krew sedang tidur di bawah dek kapal dan dia sedang melakukan pemantauan di waktu malam .

"Saya melihat sesuatu yang kelihatan seperti kapal terbang terbakar. "Itulah yang saya fikir ia adalah," katanya yang dipetik dari Phuket Gazette.

Katanya lagi: "Kemudian, saya fikir saya mesti gila... Ia menarik perhatian saya kerana saya tidak pernah melihat kapal terbang dengan lampu oren sebelum ini, jadi saya tertanya-tanya apakah ia."

Tambahnya, dia dapat melihat garis asap hitam  yang terhasil dari belakang pesawat terbabit di sepanjang laluan kapal terbang di udara.

“Sekurang-kurangnya ada dua pesawat terbang melalui ruang udara dari arah bertentangan pada masa itu, saya fikir mungkin pesawat lain mungkin melihat kebakaran yang terjadi pada badan pesawat tersebut dan melaporkannya serta-merta,” jelasnya.


Tee yang agak tergamam dengan cahaya api tersebut kemudiannya beranggapan mungkin ianya cahaya dari meteor.

“Saya masih ingat pesawat itu datang dari arah utara dan meluncur terbang dengan api marak pada badan pesawat menuju ke arah selatan,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, sebaik sahaja berita kehilangan MH370 kedengaran melalui radio kapal, Tee dan suaminya mula menyemak semula log perjalanan mereka.

Pasangan tersebut kemudiannya mula menyedari kemungkinan objek terbakar yang terbang di ruang udara merupakan pesawat MH370.

“Kami melihat semula data perjalanan yang telah kami rekodkan sejak awal dan salah satu laluan laut yang kami lalui hampir sama dengan laluan udara di mana pesawat tersebut dilaporkan hilang,” kata Tee.

Memetik laporan itu, kedua-dua pasangan itu dilaporkan telah menemui pihak Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang mengetuai pencarian MH370, tetapi organisasi tersebut belum mengesahkan perkara ini.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari skrin radar pada 8 Mac tidak lama selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing. - Sinar Harian