Thursday 13 March 2014

1MWER!!! Gegaran gempa bumi kejutkan 1MWER




Pasukan 1Malaysia World Endurance Ride di hadapan Hand of Desert di Gurun Atacama, Chile, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 10 Mac - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) menempuh pengalaman baharu apabila dikejutkan oleh gegaran gempa bumi sewaktu berada di Vina Del Mar, Chile, Khamis lalu.

Anggota pasukan 1MWER, Rosmadi Saad, 46, berkata, gegaran selama 30 saat itu telah mengejutkan mereka yang sewaktu itu sedang tidur akibat kepenatan.

"Ini pengalaman yang amat menakutkan kami semua, gegaran pada pukul 1.30 pagi waktu tempatan itu berukuran 4.8 skala richter.

"Namun bagi rakyat Chile, gegaran sedemikian hanya perkara biasa kerana negara mereka sememangnya mempunyai banyak gunung berapi," katanya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia hari ini.



Sementara itu, Rosmadi berkata, pada Jumaat dan Sabtu lalu, pasukan 1MWER meneruskan perjalanan dari Bahia Inglesia ke Antofagasta membabitkan jarak 510 kilometer (km) menggunakan Laluan 5, Lebuh Raya Pan Amerika.

Katanya, di laluan itu, mereka sempat berhenti di Hand of Desert iaitu tugu tapak tangan yang amat besar di gurun Atacama.

"Tugu ini amat terkenal bagi pengguna Laluan 5 di Atacama walaupun tiada sejarah di sebaliknya. Pembinaannya semata-mata sebagai daya tarikan pelancong.

"Ada orang sanggup datang beratus kilometer semata-mata untuk bergambar dengan tangan itu," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang diketuai Datuk Zamri Mohamed, 50, dan turut dianggotai Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1 Malaysia World Endurance Ride.

 Sumber