Thursday 13 March 2014

1MWER tempuh gurun paling kering di dunia




PASUKAN 1Malaysia World Endurance Ride melalui kawasan gurun Atacama, Chile yang merupakan gurun paling kering di dunia, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 11 Mac - Pasukan kembara lasak bermotosikal terkemuka negara, 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER) terus meraih pengalaman baharu apabila menunggang di gurun paling kering dunia iaitu Atacama, kelmarin.

Anggota pasukan 1MWER, Rosmadi Saad, 46, berkata, kawasan gurun itu ditempuhi mereka sewaktu dalam perjalanan ke San Pedro de Atacama, Chile.

Katanya, Atacama yang mempunyai keluasan 105,000 kilometer (km) persegi itu merangkumi Chile, Peru, Bolivia dan Argentina dengan sebahagian besarnya dibentuk oleh tasik garam, pasir dan lava felsic.

"Cuaca sepanjang perjalanan kira-kira 27 darjah Celcius tetapi pancaran matahari amat terik dan panas, tiada apa-apa kedai atau perumahan sebaliknya gurun semata-mata.

"Kerana bentuk muka bumi yang berbeza, gurun Atacama pernah dijadikan lokasi pengambaran adegan di planet Marikh dan yang paling terkenal ialah siri televisyen Space Odyssey: Voyage To The Planets," katanya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia hari ini.



Sementara itu, Rosmadi turut memberitahu, perjalanan mereka dari Santiago juga lebih istimewa kerana disertai seorang rakyat Malaysia yang telah lama menetap di Chile, Chan Heng Khoon.

Katanya, Heng Khoon yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang dan fasih bahasa Sepanyol itu ditemui dalam satu majlis di Kedutaan Besar Malaysia di Santiago.

"Kerana semangat cintakan tanah air dan bangga menjadi anak Malaysia, beliau menawarkan diri bergandingan dengan kami untuk memandu kereta yang kami sewa agar krew produksi 1MWER dapat menjalankan tugas dengan mudah.

"Inilah contoh semangat perpaduan dan semangat sayangkan negara yang terjalin antara kami," katanya.

Ekspedisi 1MWER yang diketuai Datuk Zamri Mohamed, 50, dan turut dianggotai Mohd. Faizal Sukree, 38, itu dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang akan menjelajah lebih 40 buah negara meliputi jarak 53,000 km dalam usaha mencipta rekod dunia boleh diikuti melalui laman Face book rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride.

Sumber