Tuesday 4 March 2014

GEMPAR!!! 101 orang lagi keracunan makanan dari pasar malam


Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU 4 Mac - Seramai 101 orang lagi mengalami keracunan makanan selepas menikmati juadah yang dibeli di pasar malam di Taman Shah Bandar dan Padang Hiliran di sini pada Sabtu lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman berkata mereka dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setelah muntah dan cirit-birit selepas menikmati nasi goreng putih, nasi goreng merah, kuetiau goreng dan mee goreng.

"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden ini dan kita tidak menolak kemungkinan empat jenis makanan itu mengandungi virus salmonella yang mungkin berpunca daripada ayam atau telur," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak Sabtu lepas, seramai 68 orang termasuk 18 kanak-kanak dimasukkan ke wad HSNZ manakala 33 orang lagi diberi rawatan pesakit luar selepas mengalami keracunan makanan. Mereka berusia antara 10 bulan dan 57 tahun.

Pihaknya juga mengambil 10 najis pesakit untuk diuji bagi mengenal pasti punca sebenar keracunan itu.

Semalam, seorang kanak-kanak, Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme, 5, meninggal dunia kira-kira 1 petang ketika dalam perjalanan menerima rawatan lanjut di HSNZ juga akibat keracunan makanan. - BERNAMA

Sumber