Wednesday 5 March 2014

AL-FATIHAH!!! 'Saya bangga dengan abang saya'

RIDAUDDIN DAUD
4 Mac 2014

'Saya bangga dengan abang saya'
  • Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani (dua, kanan) turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Koperal Raja Aizam Raja Mohid.

SAYONG - "Saya bangga kerana abang saya meninggal dunia sewaktu sedang melakukan tugas namun saya sedih dengan cara pemergiannya," demikian luahan adik kepada Koperal Raja Aizam Raja Mohid, 55, yang maut diserang warga Indonesia ketika sedang melakukan pemeriksaan di Taman Sentosa, Klang.

Raja Azizul Azan Raja Mohid, 53, berkata, dia mempunyai hubungan yang baik dengan arwah abangnya itu meskipun mereka jarang berjumpa.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan abangnya itu adalah pada dua tahun lepas ketika dia pulang ke rumah ibu mereka, Sapiyah Endut, 79, di Kampung Sayong Lembah, di sini.

"Kali terakhir saya berhubung dengan arwah adalah pada Selasa minggu lepas. Masa itu kami berbual seperti biasa, berbual tentang keluarga kami.

"Kemudian dia kata dia ada kerja, jadi dia menghentikan perbualan dan akan hubungi saya semula pada sebelah malam. Tapi saya pun lupa dan dia pun tiada hubungi saya lagi.

"Saya memang terkejut bila dapat tahu dia sudah meninggal dunia sebab saya baru sahaja berhubung dengan dia minggu lepas," katanya ketika ditemui di rumah ibunya, di sini, hari ini.

Dia yang bekerja sebagai pemandu bas di Raub bergegas pulang ke kampung sejurus mengetahui tentang tragedi yang menimpa abangnya kira-kira jam 8 pagi hari ini.

Menurutnya, ibunya yang mempunyai masalah ingatan masih dalam keadaan keliru dengan pemergian abangnya namun dia kelihatan sugul kerana tahu salah seorang anaknya meninggal dunia.

"Kami tidak mahu paksa mak untuk tahu apa yang terjadi kepada arwah Raja Aizam sebab kami bimbang dengan keadaan kesihatannya.

"Dia tidak ingat anaknya yang mana meninggal dunia tapi dia tahu bahawa salah seorang anaknya telah pergi meninggalkannya," ujarnya.

Hampir 500 saudara-mara dan jiran terdekat berkumpul di hadapan Surau Khairiyah di sini bagi menunggu ketibaan jenazah dan jenazah Koperal Raja Aizam tiba di surau berkenaan kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Raja Aizam meninggalkan seorang isteri, Nor Salmah Nordin, 52 dan empat anak berusia lingkungan 17 hingga 24 tahun.

Sumber