Wednesday 5 March 2014

KERACUNAN!!! 3 peniaga diarah henti operasi

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISa
pengarang@utusan.com.my


Anwa Sulaiman (tengah) melawat ketua jururawat, Siti Nor Abd. Karim yang turut dirawat akibat keracunan makanan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 4 Mac - Selain seorang kanak-kanak berusia lima tahun iaitu Muhammad Iqbal Rafie Mohd. Ilme yang maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas membeli juadah di pasar malam di sini, sebanyak 101 orang lagi turut menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat masalah yang sama.

Mereka mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sejak 28 Februari sehingga awal pagi ini kerana mengalami muntah-muntah dan ciritbirit selepas membeli makanan di dua buah pasar malam iaitu di Dataran Shahbandar dan Padang Hiliran di sini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman berkata, seramai 68 dirawat sebagai pesakit biasa dengan lapan orang telah dibenarkan pulang manakala selebihnya masih dirawat di dalam wad dan kini berada dalam keadaan stabil.

"Seramai 33 yang lain dirawat sebagai pesakit luar dan siasatan mendapati kesemua mereka mengalami simptom yang hampir sama iaitu muntah-muntah dan cirit-birit atau kedua-duanya sekali," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengambil sampel najis daripada 10 orang pesakit dan sembilan daripadanya didapati positif bakteria 'salmonella' iaitu sejenis bakteria yang dipercayai berpunca daripada daging, telur atau najis ayam.

"Pihak jabatan juga mendapati, hampir kesemua pesakit mengambil empat jenis makanan yang sama iaitu nasi goreng merah, nasi goreng putih, kuetiau goreng dan mi goreng yang mengandungi ayam atau telur ayam di pasar malam berkenaan.

"Ekoran kejadian itu, satu siasatan lanjut telah dibuat dan tiga peniaga telah ditahan untuk tindakan lanjut dan operasi mereka diarah dihentikan untuk tempoh seminggu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dapur dan pendidikan kesihatan diberikan kepada mereka," ujarnya.

Selain itu katanya, pihak jabatan juga telah mengambil 31 contoh atau sampel makanan termasuklah peralatan dapur dan beberapa perkara yang berkaitan milik ketiga-tiga peniaga terlibat untuk dibuat ujian makmal.

Kes keracunan makanan itu dilaporkan berlaku sejak Sabtu lalu sehingga mengakibatkan kematian Muhammad Iqbal Rafie yang dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya petang semalam ketika dalam perjalanan ke HSNZ.

Mengenai kejadian yang menimpa kanak-kanak itu, Dr. Anwa berkata, setakat ini, kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia disebabkan mengalami masalah dehidrasi yang teruk selain muntah-muntah dan cirit-birit dipercayai akibat keracunan makanan.

Katanya, walaupun ibu bapa kanak-kanak tersebut dikatakan telah mendapatkan rawatan awal di Klinik Kesihatan Bukit Payong kelmarin, keadaannya ketika itu difahamkan tidak begitu serius namun tahap kesihatannya merosot secara tiba-tiba selepas itu.

"Kita juga telah mengambil beberapa sampel berkaitan termasuklah air tulang belakang mangsa, darah daripada jantung dan sebagainya untuk buat ujian lanjut bagi mengetahui kuman yang menyebabkan kanak-kanak itu mengalami cirit-birit yang teruk sehingga meninggal dunia," katanya.

Sumber