Wednesday 4 June 2014

1MWER ::: Cikgu Madie 1MWER sebak sambut Hari Guru di Mexico


Rosmadi Saad (kiri) bersama Zamri Mohamed (tengah) dan Mohd. Faizal Sukree sewaktu berada di La Paz yang merupakan bandar ketiga terbesar di Bolivia, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 19 Mei - Sudah hampir setahun, Rosmadi Saad, 46, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Madie ‘bercuti’ daripada tugas hakiki sebagai pensyarah di Kolej Vokasional Setapak di sini.

Pada 13 Jun tahun lalu, dia bersama Datuk Zamri Mohamed, 50, dan Mohd. Faizal Sukree, 38, dilepaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu negara untuk memulakan ekspedisi mengelilingi dunia menggunakan jalan darat merentasi benua Asia, Eropah, Amerika Selatan dan Amerika Tengah.

Mereka kini berada di Sinaloa, Mexico dan dalam perjalanan menuju ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sebelum menamatkan pengembaraan pada pertengahan bulan depan.

Sebagai pendidik yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun, Rosmadi mengakui amat rindukan suasana di dalam kelas dan pada Jumaat lalu, dia menitiskan air mata membaca ucapan Hari Guru yang dicoretkan pelajar dan bekas pelajar di laman sosial Facebook miliknya.

“Saya rindukan suasana di Kolej Vokasional Setapak dan sentiasa terkenangkan gelagat para pelajar di dalam kelas.

“Saya ingin mengucapkan selamat Hari Guru buat semua warga pendidik khasnya di Kolej Vokasional Setapak yang telah banyak membantu terutama ketika ketiadaan saya sepanjang program 1Malaysia World Endurance Ride (1MWER)" katanya dalam kiriman e-mel dari Mexico kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rosmadi merupakan lulusan Maktab Perguruan Teknik pada 1989 sebelum menyambung pelajaran di Jepun pada 1994 dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Memulakan perkhidmatan di Sekolah Mene­ngah Vokasional Bentong, Pahang bermula 1989 hingga 1991, Rosmadi kemudiannya dipindahkan ke Kolej Vokasional Setapak bermula 1991 sehingga sekarang.

Sementara itu, Rosmadi berharap pengalamannya mengembara bersama 1MWER boleh digunakan sebagai motivasi dalam mendidik para pelajar kerana perkara itu adalah penggerak utama sesuatu kejayaan.

Katanya, dalam mengharungi cabaran sepanjang perjalanan, selain kekuatan fizikal, yang lebih penting ialah kekuatan mental untuk mengharungi situasi genting.


“Di samping itu, pendidikan menunggang secara berhemah perlu ditekankan selain menjadikan kami sebagai model ikutan untuk pelajar berjaya dalam pelajaran dan kerjaya bagi membolehkan impian mereka memiliki motosikal berkuasa tinggi menjadi kenyataan.

“Impian semua penunggang ialah mengelilingi dunia atau menjelajah ke negara-negara luar yang memerlukan kos yang tinggi. Dengan adanya pelajaran, maka mereka akan menuju ke arah kejayaan dan dengan kejayaan, insya-Allah impian akan tercapai," katanya.

Ditanya kenapa sanggup berkorban untuk menjayakan misi 1MWER, Rosmadi berkata, tiada kejayaan akan dicapai tanpa sebarang pengorbanan.

“Risiko berada di mana-mana sahaja, namun apa yang lebih penting bagi saya ialah membawa mesej negara iaitu Gerakan Kesederhanaan Global dan Tahun Melawat Malaysia 2014.

“Alhamdulillah, pada pendapat saya, kami telah berjaya membawa mesej yang digalas dan telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia juga mampu mengelilingi dunia dengan menaiki motosikal," katanya.

1MWER dianjurkan oleh Yayasan Wangsa Perdana dengan sokongan Tourism Malaysia, Telekom Malaysia, FlexiRoam, Buraq Oil dan Bank Rakyat selaku penaja utama.

Perkembangan ekspedisi 1MWER yang menjelajah lebih 40 buah negara boleh diikuti melalui laman Facebook rasmi 1MWER: 1Malaysia World Endurance Ride. - Utusan