Wednesday, 4 June 2014

REZEKI !!! Menyelam 7 meter demi kerang bulu


Kamaruddin menunjukkan hasil sauk yang diperoleh.

PARIT BUNTAR - Kerang bulu. Pastinya golongan muda masa kini bingung memikirkan apa yang membezakan kerang biasa dengan kerang bulu.

Di sebalik bentuk fizikal berbulu-bulu halus di seluruh cengkerang, kerang ini menerima permintaan sangat tinggi penggemarnya di seluruh negara.

Meskipun isinya sedikit liat berbanding kerang biasa, namun tidak menghalang penggemarnya untuk mendapatkan spesies siput itu dengan harga pasaran tinggi.

Faktor permintaan tinggi juga menyebabkan sebahagian kecil pencari siput dan kerang sanggup bergadai nyawa untuk mendapatkannya, termasuk menyelam ke dalam dasar laut sejauh tujuh meter.

Di Kerian, permintaan terhadap kerang bulu amat menggalakkan terutama pada Ramadan sehinggakan terdapat ramai penternak kerang sanggup mengambil risiko menyemai benih anak kerang di sepanjang kawasan persisiran pantai Bagan Tiang dan Kuala Kurau, di sini.

Di Bagan Tiang, pencari kerang tradisional,  Kamaruddin Sulaiman, 44, berkata, dia mampu memperoleh hasil pendapatan lumayan dengan menjual siput dan kerang bulu.

Menurutnya, dia sanggup menggadaikan nyawa menyelam ke dalam dasar laut dengan kedalaman lebih tujuh meter bagi mendapatkan kerang bulu dan siput.

“Siput bayam dan kerang bulu biasanya hidup berdekatan malah sering ditemui bersama apabila nelayan menangguk di dasar laut.

“Seorang nelayan mampu memperoleh lebih dua kilogram kerang bulu pada musim pembiakan kerang bulu namun, bukan semua orang boleh melakukan pekerjaan menangguk kerang bulu berikutan perlu menyelam ke dasar laut tanpa menggunakan alat pernafasan selam,” katanya.


Kamaruddin berkata, bagi kebanyakan nelayan di sini, mereka lebih selesa menyelam berbanding menggunakan sauk panjang untuk menangguk dari atas bot.

Jelasnya, apabila menyelam, mereka dapat rasakan sendiri kewujudan lubuk kerang bulu berbanding menangguk dari atas bot yang tidak tentu hasilnya.

“Namun, risiko menyelam juga amat tinggi berikutan penyelam turut berdepan ancaman obor-obor.

"Justeru, kebanyakan kami memakai sut khas yang dibeli dengan lingkungan harga RM800 hingga RM1,300 untuk tujuan keselamatan,” katanya.

Kamaruddin berkata, setiap hari dia mampu memperoleh lebih 50 kilogram hasil kerang bulu yang dijual terus kepada pemborong.

Bagi harga hasil laut itu, Menurutnya, siput bayam dijual antara RM 5 dan RM 6 sekilogram bergantung pada saiznya  manakala kerang bulu, dijual antara RM 1 sehingga RM 3 sekilogram.

“Harga kerang bulu dijangka akan meningkat dan selagi ada permintaan, selagi itu nelayan di sini akan mencarinya.

“Walaupun agak liat namun kemanisan isinya tetap mendapat permintaan yang tinggi di sini berbanding kawasan lain,” katanya. - Sinar Harian