Wednesday, 19 March 2014

FAKTA!!! Apa beza mata lelaki, wanita

MUHAMAD MAT YAKIM
28 Februari 2014

Muhamad Mat Yakim 

"HARAPKAN abang cari, sampai besok pun tak jumpa!" ataupun "kalau cermin mata tu ular, dah lama abang kena patuk!"

Jangan tidak mengakulah,  saya percaya ramai suami pernah jadi sasaran kata-kata isteri yang seperti ini. Apa puncanya? Adakah ia semata-mata kerana lelaki selalunya tidak fokus, pemalas atau mengada-ada untuk mengharapkan isteri sahaja mencari barang hilang yang selalunya berpunca daripada kecuaian mereka sendiri.

Yang peliknya, apabila isteri yang cari, mudah pula barang itu ditemui.

Sebenarnya, ramai yang tidak perasan bahawa apa yang berlaku ini bukan kebetulan tetapi disebabkan mata juga fokus otak lelaki dan wanita ketika memandang sesuatu sememangnya berbeza. Mata lelaki dan wanita dijadikan bukan sahaja tidak serupa malah tidak sama. Ini dinyatakan dalam buku Why Men Do Align Leftn’t Listen and Women Can’t Read Maps.

Pengkaji dan penulis buku itu, pasangan  Allan dan Barbara Pearce  menyatakan bahawa perbezaan itu bukan sahaja dari sudut biologi ataupun fizikal tetapi juga dalam bentuk kebiasaan yang diwarisi sejak beribu-ribu tahun lalu.

Satu lagi contoh, lelaki biasanya akan menoleh dan memberikan masa yang lama untuk melihat wanita cantik yang lalu di hadapannya. Adakah wanita sebaliknya 'terpelihara' daripada berkelakuan seperti itu jika mereka dilintasi oleh lelaki kacak?

Sebenarnya tidak. Seperti lelaki, mereka juga ada keinginan yang serupa namun tindakan mereka disembunyikan oleh keupayaan mata mereka yang mampu melihat dalam liputan pandangan lebih 180 darjah.

Ini disebabkan mata wanita mempunyai lebih banyak sel jenis kon dalam retinanya yang tidak memerlukan mereka untuk menoleh untuk melihat sesuatu yang menarik perhatian.

Justeru dalam keadaan ini, wanita boleh menyembunyikan kenakalan mereka.

Dalam kes mencari barang hilang pula, sejak zaman primitif, tugas lelaki adalah memburu untuk mencari makanan manakala wanita menjaga anak-anak di tempat tinggal. Sebagai pemburu, lelaki dipersiapkan mata dan otaknya untuk melihat banyak objek dalam persekitaran yang sempit.

Dengan itu, otak mereka secara automatik akan menyempitkan penglihatan untuk menumpu kepada binatang buruan. Wanita pula yang menjaga tempat tinggal, otak mereka diprogramkan untuk memproses semua maklumat visual yang masuk di dalam lingkungan yang lebih luas.

Inilah yang memberi kelebihan kepada mereka untuk lebih mudah temui barang hilang berbanding lelaki.

Satu perkara lagi, mata lelaki mempunyai sel M yang lebih banyak berbanding mata wanita. Sel M adalah sel mata yang sensitif terhadap pergerakan manakala sel P adalah sel mata yang sensitif terhadap fokus mata.

Ini juga membantu kita untuk lebih memahami mengapa lelaki sering gagal mencari barang hilang terutama barang ‘mati’ yang tidak bergerak seperti dompet, kunci kereta dan sebagainya. Mereka sebaliknya lebih cekap mengesan binatang buruan yang bergerak sepantas kilat!

Sel P pula mendorong wanita untuk tertarik pada warna terutama warna yang terang, begitu juga corak hingga mereka menjadi begitu teliti dalam pemilihan warna dan corak pakaian.

Demikianlah. ALLAH menjadikan lelaki dan wanita sememangnya terlalu banyak perbezaannya jika mahu diteliti, sama ada yang kita sedari atau tidak sedari. Dan perbezaan ini sudah tentu ada sebab musabab dan hikmahnya yang tersendiri.

Kepada suami-suami, kalaulah anda dileteri lagi kerana gagal mencari barang yang hilang, beritahu isteri, itu bukan masalah anda seorang tetapi semua lelaki di dunia ini. Jurang perbezaan bukan untuk dilebarkan tetapi untuk kita saling memahami, memenuhi dan juga berkasih sayang.

Sumber