Wednesday 19 March 2014

TERBARU!!! Samsung lancar Galaxy S5

Oleh Gaddafi Musli


Foto
CEO Samsung J.K. Shin melancarkan Samsung Galaxy S5 di Mobile World Congress. FOTO AP
BARCELONA: Samsung menampilkan Samsung Galaxy S5 dengan sistem camera canggih, rangkaian hubungan pantas selain ciri keselamatan terkini, pada persidangan dan pameran Mobile World Congress 2014 di Barcelona, Sepanyol, awal pagi tadi.

Dengan resolusi kamera 16 megapiksel, S5 turut menawarkan sistem fokus automatik terpantas di dunia sehingga 0.3 saat selain menaik taraf kualiti High Dynamic Range (HDR) untuk menghasilkan pencahayaan serta warna yang lebih terang.

Foto
SAMSUNG Galaxy S5 (kiri), Samsung Galaxy Gear 2 (tengah) dan Samsung Galaxy Fit (kanan) dilancarkan semasa Mobile World Congress 2014 di Barcelona. FOTO AFP

Presiden merangkap Ketua Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Mobile Samsung, JK Shin berkata, S5 direka khusus untuk memenuhi keperluan sebenar pengguna tanpa mengabaikan ciri-ciri asas yang menobatkan siri gajet berkenaan sebagai salah satu peranti paling popular di dunia.

"Pengguna tidak mahu teknologi yang terlalu kompleks dan rumit. Mereka mahu kamera yang ringkas tapi mempunyai keupayaan tinggi," jelasnya.

Dari segi fizikal, ia sama seperti model terdahulu dengan bahan plastik premium namun dengan rekaan yang lebih moden seperti liang kecil untuk tampak lebih elegan dan mudah dipegang.


Skrin lebih besar iaitu 5.1 inci Full HD Super AMOLED pastinya menjanjikan kepuasan pengguna ditambah dengan pemproses 2.5 GHz Quad-core dan generasi kelima Wi-Fi 802.11ac serta 2X2 MIMO yang menyokong frekuensi LTE kategori 4.

Untuk pengguna yang mendambakan kepantasan Internet, S5 didatangkan dengan Download Booster, teknologi Wi-Fi yang menggabungkan kelajuan Wi-Fi dan LTE untuk meningkatkan kelajuan data.

Gajet yang ditawarkan dalam empat warna iaitu hitam, putih, biru dan emas ini juga tahan percikan air serta debu IP67 dan ditambah baik dengan fungsi keselamatan menggunakan pengimbas cap jari, yang mana turut boleh digunakan untuk tujuan pembayaran online.

Spesifikasi
Produk: Samsung Galaxy S5
OS: Android 4.4.2 Kitkat
Dimensi: 5.60 x 2.85 x 0.31 inci
Berat: 145g
Paparan: 5.1 inci HD Super AMOLED
Kamera: 16MP
Kamera depan: 2MP
CPU: 2.5GHz Quad Core
Memori: 16/32/64GB
Slot kad: microSD
Bateri: 2,800mAh
RAM: 2GB