Wednesday, 19 March 2014

MH370::: Tiga juta cari tak jumpa



WASHINGTON : Tiga juta penduduk dunia berganding bahu bagi mengesan pesawat MH370 berpandukan imej satelit yang dirakam oleh DigitalGlobe di koridor utara dan selatan kawasan pencarian Boeing 777-200ER milik MAS itu.

DigitalGlobe berkata, lebih tiga juta orang mengambil bahagian dalam program membabitkan 257 juta imbasan peta 2.9 juta kawasan yang ditanda oleh peserta dengan rakaman imej membabitkan kawasan seluas 24,000 kilometer persegi itu ditambah setiap hari.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang dan kru itu dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan hingga kini 25 negara terbabit dalam operasi SAR yang dibahagikan kepada koridor utara iaitu dari Malaysia hingga Kazakhstan dan koridor Selatan hingga ke Lautan Hindi.

DigitalGlobe mengaktifkan platform sumber daya kerumunan (crowdsourcing) dipanggil Tomnod pada 11 Mac lalu bagi mengajak orang ramai meneliti imej yang dirakam menggunakan lima satelit berdefinisi tinggi.

Maklum balas yang diterima DigitalGlobe sangat hebat hingga melebihi kapasiti sistem pelayan komputernya pada minggu lalu.

Syarikat itu menggunakan algoritma dipanggil CrowdRank bagi menapis bukti yang berpotensi berpandukan kepada lokasi yang banyak ditanda oleh orang ramai.

“Pakar penganalisis DigitalGlobe akan memeriksa tanda itu untuk disenarai pendek kepada 10 terbaik sebelum maklumat itu dikongsikan dengan pelanggan dan pihak berkuasa.

“DigitalGlobe ada hubungan langsung dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) selain mempunyai hubungan yang rapat dan berterusan dengan banyak acara antarabangsa,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan, semalam.


Walaupun tidak ada rekod muktamad yang dicatat oleh sumber daya kerumunan, ia dilihat sebagai usaha terbesar dalam sejarah dunia malah lebih besar daripada bantuan yang diusahakan ketika Taufan Haiyan yang melanda Filipina, November lalu.

“Memang ada projek membabitkan orang ramai namun tidak mengumpulkan seramai orang dalam tempoh sesingkat ini.

“Walaupun usaha sumber daya kerumunan ini masih belum menemukan MH370, setidak-tidaknya ia dapat mengenepikan kawasan yang tiada bukti kehadiran pesawat itu seterusnya menjimatkan masa penganalisis imej profesional,” kata penyelidik yang mengkaji sumber daya kerumunan dari Woodrow Wilson International Center for Scholars, Lea Shanley.

Walaupun belum ada sebarang bukti kukuh, perbualan antara pencari sukarela ini begitu hangat malah ada yang mendakwa berjaya menemukan lokasi MH370.

“Ada yang nampak seperti bentuk kapal terbang tetapi saya meraguinya, bentuk yang mirip pesawat itu di petak peta 112075 dekat sungai...mungkin juga ia pokok tumbang dalam air,” komen pencari yang menggunakan identiti Rasande Tyskar Youness Mikou.

Seorang lagi pencari dikenali Alice von Malice menjawab, “Youness, ia kelihatan agak kecil tetapi bentuknya memang seperti kapal terbang.”

Ramai yang menanda kawasan yang memaparkan imej seperti kerusi yang terapung dan puing selain ada yang menanda pesawat, bot serta kawasan tumpahan minyak yang besar.

Ada sukarelawan yang mengatakan imej satelit itu tidak seperti rakaman kamera pemantau permukaan bumi kerana hanya merakam mengikut segmen dan ia bermakna anda perlu benar-benar bertuah untuk menjumpai Boeing 777-200ER yang hilang itu. - AFP

Sumber