Wednesday 19 March 2014

BANGGA!!! Remaja Perak diuji kelab Australia



Muhamad Firdaus Saiyadi (dua dari kiri) menerima ucap selamat daripada Shahrul Zaman di terminal pelepasan LCCT, Sepang semalam sebelum berangkat ke Sydney Australia sambil diperhatikan ibunya, Zainun Mat Noor dan Saiyadi Bakir.

SEPANG - Bakat muda bola sepak negara semakin meraih perhatian pihak luar dan yang terbaru, bintang muda berusia 18 tahun kelahiran Akademi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Muhammad Firdaus Saiyadi, meraih kesempatan terbaik apabila ditawarkan menjalani latihan selama sembilan hari bersama kelab terkemuka Liga Australia (A-League), Newcastle United Jets.

Dia yang berlepas ke New South Wales semalam ditemani oleh ketua jurulatih Akademi PAFA, Marshall Soper, salah seorang yang bertanggungjawab membawa anak muda kelahiran Ipoh ini untuk menjadi anak Malaysia pertama beraksi dalam A-League.

Pengerusi Jawatankuasa Teknik, Pembangunan dan Pertandingan PAFA, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kejayaan menghantar Firdaus ke Australia adalah hasil usahasama antara PAFA yang diketuai Presiden, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin selain bantuan Marshall yang mempunyai hubungan baik dengan pihak Newcastle Jets.

Malah, kemungkinan besar terdapat ramai lagi pemain muda berbakat dalam Akademi PAFA akan dibawa ke sana pada masa akan datang selepas ‘perjanjian pintar’ antara kedua-dua persatuan bola sepak itu dicapai bagi mengadakan usahasama dalam program pembangunan bola sepak.

"Firdaus adalah antara pemain muda terbaik PAFA yang kita fikirkan layak untuk menjalani latihan bersama Newcastle United Jets dan turut dipersetujui oleh Marshall kerana melihat potensi besar yang ada pada dirinya.

"Kemungkinan akan ada lagi pemain Perak yang akan ke Australia kerana menurut perjanjian persefahaman dengan Newcastle Jets, kami berjanji untuk membawa dua orang pemain berlatih di sana.

"Kami akan mengetahui jawapan sama ada dia terpilih atau tidak selepas lapan hari dia menjalani latihan di sana, sekiranya dia berjaya, skuad Piala Presiden Perak tidak keberatan untuk melepaskannya kerana ini adalah untuk kebaikan karier Firdaus bagi jangka panjang dengan mendapat pendedahan berkualiti tinggi," katanya ketika menemani pemergian Firdaus di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) Sepang, semalam.

Bermain di posisi tengah, Firdaus yang berketinggian 1.78 meter pernah mengganggotai pasukan Bawah 15 tahun kebangsaan dalam kejohanan Piala Premier Manchester United (MUPC) Asia 2011 di Bangkok, Thailand.

Menjadikan pemain tengah Sepanyol dan Barcelona, Andres Iniesta sebagai idola, Firdaus berjanji tidak akan mensia-siakan peluang diberikan dan memberi fokus selama sembilan hari menjalani latihan di sana.

"Sepanjang saya berada di sana, saya akan cuba mempelajari apa jua teknik serta corak latihan yang mereka perkenalkan dan menganggap ini sebagai salah satu peluang keemasa yang sukar untuk digambarkan, " katanya.

Newcastle United Jets buat masa ini membariskan dua pemain terkenal England, Emile Heskey yang pernah beraksi bersama Liverpool dan Aston Villa selain bekas pemain Leeds United dan Hull City, Michael Bridges.

Turut mengucapkan selamat jalan kepada Firdaus adalah ayahnya, Syahidi Bakir, yang berasa pencapaian yang dilakar oleh anak bongsu daripada lima beradik itu adalah paling membanggakan dan berharap dia pulang dengan kejayaan.

"Satu perasaan yang tidak dapat digambarkan, saya tahu Stoper telah perhatikan Firdaus selama tiga tahun sejak 2011 lagi. Saya percaya dia mampu pergi jauh jika diberi pendedahan di peringkat tertinggi.

"Saya juga ada empat lagi anak lelaki dan mereka semua juga bermain bola sepak tetapi Firdaus nampaknya paling menyerlah. Sejak kecil dia menunjukkan minat begitu mendalam terhadap bola sepak, saya harap satu hari nanti dia akan menyarung jersi kebangsaan," katanya.

Sumber